Monday, 23 April 2012

Nota Lengkap Unsur-Unsur Seni Visual 2

 Unsur-Unsur Seni Visual (Nota Lengkap)

        1. Garisan

  • Elemen asas yang penting untuk melukis dan melakar. Garisan merupakan unsur seni yang utama.  Unsur garisan terdapat pada sebarang bentuk lukisan atau contengan. Garisan menjadi unsur seni yang paling asas dalam kerja-kerja melukis. Setiap lukisan yang dihasilkan itu pastinya bermula dengan satu garisan. Garisan juga boleh dilukis dengan menggunakan pelbagai jenis alatan melukis.  Antaranya pensel, pen, kapur, krayon dan lain-lain.
  • Definisi Garisan secara lengkap ialah Satu kegiatan permulaan bagi menghasilkan tanda yang pertama iaitu bermula dengan satu titik. Kemudian proses seterusnya menggaris dan membentuk sehingga menjadi satu garisan.  Garisan juga terhasil dari cantuman‑cantuman satu siri titik-titik yang bersambungan. Garisan juga boleh dianggap sebagai titik yang bergerak. Susunan titik yang berlanjutan itu juga dianggap sebagai satu garisan  Jenis-jenis garisan ialah garisan tebal , garisan kasar, garisan berbulu, garisan bertitik-titik, garisan halus, garisan beralun ,garisan berlingkar, garisan berputar , garisan berpancar. 

    2. Rupa 

    Rupa ialah sesuatu imej yang bersifat rata. Permukaannya adalah kosong dan bersifat dua dimensi. Rupa boleh didefinisikan oleh elemen-elemen lain seperti garisan, warna, tona dan jalinan. Kita juga boleh menganggap bahawa rupa adalah hasil dari penghujung sesuatu garisan yang bertemu dengan titik permulaannya. Logo, corak dan muka taip adalah antara gubahan seni grafik yang terdiri daripada unsur-unsur rupa. Rupa boleh jadi mempunyai garis sempadan atau garis luar di sekelilingnya, atau ia boleh jadi juga dikenali menerusi daya bayangan dan imaginasi manusia. Dalam rekaan logo dan corak, bentuk yang dijadikan motif diubahsuai  menjadi rupa yang mudah untuk dijadikan lambang dan corak. 
    Rupa terbahagi kepada dua iaitu rupa geometri dan rupa organik.
  •  Rupa geometrik merupakan bentuk-bentuk yang tepat yang telah didefinisikan menggunakan formula matematik.  Bentuk asas geometrik ialah bulat, segi empat dan segi tiga. Kesemua bentuk geometrik yang lain merupakan variasi ataupun kombinasi daripada ketiga-tiga bentuk asas tadi : bujur, segi empat tepat, paralellogram, trapezoid, pentagon, pentagram, heksagon dan oktagon.
  • Rupa organik iaitu rupa yang tidak tepat, tidak bersudut dan tidak sama, garis luarnya mungkin bersegi, melengkung dan mungkin merupakan kombinasi kedua-duanya sekali. Bentuk ini selalu dapat dilihat dalam alam semula jadi.  Ia mungkin bayangan luaran bentuk benda-benda hidup seperti manusia, haiwan dan pokok. 

        3. Jalinan

  • Kesan-kesan yang terdapat pada permukaan benda atau objek, sama ada secara semula jadi       atau   buatan manusia. Kesan-kesan ini boleh dirasai melalui daya sentuhan yang terdapat pada kulit manusia, terutamanya hujung jari iaitu Kesan licin Kesan tajam ,Kesan kesat/kasar/menggerutu dan Kesan lembut dan halus.
  • Jalinan terbahagi kepada dua iaitu jalinan sentuh dan jalinan tampak.
  • jalinan sentuh ialah permukaan yang dapat dilihat serta dirasai melalui sentuhan.
  • Jalinan Tampak ialah kesan yang hanya boleh dilihat dengan pancaindera, iaitu yang hanya berada dalam ilusi.  Kita merasai kesan jalinan pada ilusi tetapi tidak merasai apa-apa kesan apabila disentuh.  Jalinan tampak pada kulit tembikai nampak kasar, tetapi apabila disentuh ianya licin sahaja. Sayap rama-rama kelihatan mempunyai mata besar dan menggerunkan tetapi ia hanya ilusi mata untuk menakutkan binatang yang ingin menyerangnya. 

        4. Bentuk

  • Wujud dalam ruang tiga dimensi yang didefinisikan melalui keluasan, ketinggian, kelebaran, ketebalan dan jisim serta lebih daripada satu permukaan. Ia mempunyai isi padu dan pejal. Sesuatu bentuk boleh terhasil daripada rupa (dua dimensi) melalui mainan cahaya ke atas sesuatu permukaan. Sinaran dari satu punca akan jatuh ke atas sesebuah bentuk mengikut rangkanya. Biasanya permukaan yang lebih dekat dengan cahaya akan lebih cerah. Bentuk boleh dihasilkan menggunakan beberapa kaedah ke atas rupa:Teknik garisan, Teknik lorekan ,Teknik jalinan dan Teknik catan.
  • Bentuk dibahagi dua iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi.
  • Bentuk konkrit ialah bentuk objek sebenar yang bersifat tiga dimensi. Ia dapat dilihat, disentuh dan dirasa. Ia terdiri daripada obejk-objek yang maujud. Antara karya seni jenis bentuk konkrit ialah arca, tembikar dan anyaman.
  • Bentuk ilusi ialah objek yang bersifat dua dimensi iaitu karya yang direka di atas permukaan rata seperti gambar, lukisan, catan dan cetakan. Ia hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat disentuh secara nyata. Ia hanyalah bentuk secara maya. Bentuk ilusi menimbulkan kesan psikologi kepada penghayat seni. Ruang maya yang dilihat sebenarnya menarik pandangan orang yang melihatnya dan dapat memberikan tafsiran tertentu. Aliran yang sering menggunakan kaedah ini ialah Surealisme iaitu mencipta ilusi berdasarkan daya imaginasi. 

    5. Ruang 

     Ruang ialah jarak di antara objek yang wujud di dalam alam nyata dan juga dalam karya seni visual. Objek yang berada di hadapan kelihatan lebih jelas dan besar berbanding dengan objek sama saiz yang berada di bahagian belakang. Contoh ruang yang wujud dalam karya seni visual digambarkan melalui kekuatan gubahan warna, jalinan, rupa dan bentuk.

     6. Warna

    Warna juga mempengaruhi kehidupan manusia sama ada personalitinya, kebudayaan dan psikologi. Personaliti seseorang itu dapat ditonjolkan melalui warna kegemarannya. Orang yang gemar memakai pakaian yang berwarna terang dan garang kebiasaannya berjiwa muda dan cergas. Warna juga mempunyai peranan dalam kebudayaan sesuatu kaum. Sebagai contoh, masyarakat Cina mempercayai warna merah adalah lambang kemewahan dan kekayaan. Dalam bidang psikologi seni, warna dapat mempengaruhi emosi seseorang. Warna yang terang dan cerah menimbulkan perasaan riang dan gembira. Manakala warna yang gelap dan kelam menimbulkan perasaan yang muram dan sedih. Apabila kita berada di persekitaran yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan hijau, kita akan berasa lebih segar. Hati juga menjadi lebih tenang serta damai. Begitu juga sebaliknya, bila kita berada dalam situasi yang berbeza. Hasil gubahan manusia yang berwarna- warni juga membuatkan alam sekeliling kita bertambah cantik dan menarik.  

    Dalam seni visual, warna dijadikan alat komunikasi yang sangat berkesan. Contohnya warna hijau, kuning dan merah memberikan makna yang sangat berkesan dalam sistem lampu isyarat. Warna juga boleh menjadikan sesuatu hasil gubahan itu kelihatan lebih menarik. Pelukis menggunakan warna untuk tujuan ekspresif diri. Sapuan berus yang bertenaga dengan warna tertentu diletakkan dapat memberikan satu kesan yang menarik dan bermakna. Tujuan utama teori warna dipelajari adalah untuk memahami ciri-ciri warna dan cara mengaplikasikannya dalam aktiviti-aktiviti seni visual. Warna dihasilkan oleh cahaya. Tanpa cahaya, warna tidak akan wujud. Warna dihasilkan apabila cahaya dibalikkan dari permukaan sesuatu objek. Kita boleh melihat warna kerana mata kita bertindak terhadap gelombang-gelombang cahaya yang dibalikkan dari objek-objek di sekeliling kita. Setiap warna mempunyai jarak gelombang yang berbeza. Warna Additive merupakan campuran warna berasaskan cahaya (Merah, Hijau, Biru). 

    Roda warna yang pertama dicipta oleh Sir Isaac Newton. Beliau menyusun ketujuh­tujuh warna spektrum di dalam sebuah bulatan. Pada awal kurun ke-18, seorang rakyat Perancis telah menemukan warna-warna utama yang dikenali sebagai Teori Merah, Kuning dan Biru. Pada tahun 1777, seorang pengukir Inggeris mengemukakan sistem roda warna yang mengandungi tiga bahagian iaitu:Warna Asas (Primer),Warna Kedua (Sekunder), danWarna Ketiga (Tertier).

     

No comments:

Post a Comment